12 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan secara mengejut dalam situasi penularan COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jumlah itu adalah anggaran untuk melaksanakan proses pilihan raya dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak itu..
“SPR memaklumkan sekiranya kerajaan adakan pilihan raya mengejut untuk seluruh negara pada masa ini, pasca COVID-19, dianggarkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion diperlukan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen PAS Kota Bharu memberitahu, daripada RM15 juta yang diterima SPR bagi 2019, sebanyak RM12,946,353.50 dibelanjakan untuk pelaksanaan lima pilihan raya kecil (PRK).
Lima PRK berkenaan adalah bagi kerusi-kerusi Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Sandakan dan Parlimen Tanjung Piai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Rantau.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan berhasrat mewujudkan dasar baharu berhubung penggunaan perkhidmatan Jabatan Peguam Negara bagi mewakili SPR dalam kes petisyen pilihan raya.
Beliau berkata, ini kerana daripada jumlah RM15 juta itu, sebanyak RM400,000 digunakan SPR bagi membiayai khidmat peguam swasta dalam hal berkaitan petisyen pilihan raya.
“Jabatan Peguam Negara dalam pentadbiran kerajaan terdahulu (PH ) sudah memutuskan SPR tidak boleh menggunakan perkhidmatan Jabatan Peguam Negara kes petisyen pilihan raya dan perlu lantik peguam swasta.
“Kerajaan sekarang ini (Perikatan Nasional) berpandangan Jabatan Peguam Negara mempunyai kepakaran dalam menguruskan kes petisyen pilihan raya,” katanya.