13 OGOS: Setelah saling berbalas tuduhan sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat sejak sebulan lalu, esok Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bakal dipertemukan dalam program debat anjuran akhbar Sinar Harian.
Dalam program dinamakan Berani Semuka itu, tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaafar akan bertindak sebagai moderator debat antara bekas Pengerusi Tabung Haji dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Debat yang akan berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam pada jam 8.30 malam itu akan menyentuh isu mengenai kedudukan Tabung Haji terutama penjualan beberapa aset di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Isu berkenaan turut menjadi perbalahan pada persidangan Dewan Rakyat dan menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli politik serta bualan hangat rakyat.
Memetik portal berita Sinar Harian, syarikat media itu selaku pihak penganjur giat melakukan persiapan bagi memastikan debat di antara tokoh yang masing-masing merupakan ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang itu berjalan lancar.
Program debat itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan platform media sosial Sinar Harian.
Sama ada mereka atau Ahli Parlimen lain yang berbahas sepanjang perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja sidang Dewan Rakyat, isu berkaitan Tabung Haji sentiasa panas dengan kedua-duanya saling bertikam lidah.
Dari hari pertama, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar akan cepat ‘sentap’ apabila penyokong kerajaan menggunakan perkataan ‘lelong’ – merujuk kepada aset-aset Tabung Haji yang dijual atau dipindah milik ketika era PH.
Malah, penyokong kerajaan menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dilakukan berhubung penjualan aset Tabung Haji bagi mendapatkan kebenaran setelah berulang kali Mujahid cuba meletakkan kesalahan kepada pentadbiran lalu.
Hal yang sama berlaku pada Abdul Azeez yang pantas bangun mempertahankan diri apabila wakil pembangkang khususnya Mujahid menyentuh beberapa isu berkaitan pengurusan Tabung Haji ketika era sebelum PH.
Pada 15 Julai lalu misalnya, Dewan Rakyat hangat apabila Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling cuba mencelah dengan bertanyakan soalan ketika perbahasan Mujahid namun tidak diberi peluang oleh Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Perang mulut itu terus berlarutan dan ada kalanya turut melibatkan rasa tidak puas hati Mujahid kepada jawapan kerajaan antaranya dalam soal penjualan aset TH Plantation sehingga beliau membuat sidang akhbar menjelaskan tujuan sebenar aset syarikat itu dijual.
Hinggalah pada satu ketika, Mujahid di luar sidang Dewan Rakyat melontarkan cabaran debat dan disambut Abdul Azeez sebelum kedua-duanya bersetuju syarat termasuk Sinar Harian menjadi penganjur.
Walau pun demikian, ia tidak mampu meredakan perang mulut di antara keduanya dengan pertelagahan isu sama masih tercetus ketika sesi perbahasan kelmarin.
Justeru, debat di pentas dari luar sidang Dewan Rakyat malam esok dijangka menjadi tumpuan ramai bagi melihat kekuatan hujah kedua-dua pihak. – Oleh M. HERMAN HAMID