13 OGOS: Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng yang sedang berdepan tiga pertuduhan rasuah disindir kerana cuba berlagak seperti pembela golongan marhaen dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM6.4 bilion untuk disalurkan kepada para peminjam sekiranya bank tidak melanjutkan moratorium.
Sidang menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bangkit mencelah dan mempersoalkan apa yang dilakukan oleh Guan Eng semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu.
“Masa jadi Menteri Kewangan tak bantu pun. Kontraktor ditekan, who is talking, man?” katanya.
Walau bagaimanapun, apa yang berlaku selepas itu tidak diketahui kerana siaran langsung sidang Dewan Rakyat tiba-tiba terputus.
Sebelum itu, Guan Eng ditempelak oleh Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai ‘akauntan tak bertauliah’.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa seramai 75 Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyandang jawatan dalam kerajaan dan jumlah tersebut tidak termasuk mereka yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Kalau Ahli Parlimen kerajaan 75, kami backbenchers 50, jadi kami 125. Kenapa dalam pengundian hanya 114?
“Ini menunjukkan bahawa akauntan tak bertauliah,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC). – Oleh HUSSAINI AMRAN