13 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil semua individu terbabit dalam wawancara dihadiri oleh peniaga burger, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, individu terbabit sudah dikenal pasti membabitkan mereka yang diwawancara, penganjur dan penghasil kedua-dua video.
“Kesemua mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan.
“PDRM menegaskan, tindakan dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang.
“Tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab PDRM, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Asri mencetuskan perdebatan hangat dalam media sosial apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat.
Dakwaan peniaga burger yang kontroversi itu tular dalam media sosial dan dikecam ramai netizen.
Mengulas lanjut, Huzir berkata, polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Beliau sekali gus menggesa orang ramai supaya tidak membuat, menerbit atau mengedar kenyataan, khabar angin serta berita yang ada kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni.