13 OGOS: Datuk Seri Azalina Othman Said memohon untuk membatalkan saman pemula dikemukakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya serta tiga lagi individu yang mencabar kesahihan pelantikannya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Permohonan untuk membatalkan saman pemula itu difailkan bersama dengan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin yang dinamakan sebagai defendan keempat dalam saman itu.
Peguam Tania Scivetti dan Syazwani Mohd Zawawi yang mewakili Azalina dan Nizam Mydin memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid hari ini.
Memetik laporan Bernama, Azalina dan Nizam Mydin selaku defendan kedua dan keempat memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu semalam atas alasan kesemua plaintif tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk bawa tuntutan saman berkenaan selain mendakwa tiada kausa tindakan munasabah dikemukakan oleh kesemua plaintif terhadap defendan keempat (Nizam Mydin).
Menurut kedua-dua defendan itu, isu yang timbul adalah di luar bidang kuasa mahkamah serta ‘non-justiciable’ atau tiada kewajaran menurut Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 7 Ogos lepas, dua lagi defendan iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Mohd Rashid Hasnon, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut memfailkan permohonan sama antara lain atas alasan isu yang dibangkitkan oleh kesemua plaintif termasuk dalam kategori perdebatan Parlimen yang tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah selaras dengan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, dalam prosiding hari ini, Hakim Ahmad Kamal menetapkan 22 September depan untuk mendengar permohonan kesemua defendan bagi membatalkan saman berkenaan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Dr Mahathir dan keempat-empat plaintif lain manakala peguam Amer Hamzah Arshad dan Hoe Sue Lu bertindak bagi pihak Azhar dan Mohd Rashid.
Pada 23 Julai lepas, Dr Mahathir, anaknya Ahli parlimen Jer;un, Datuk Seri Mukhriz, Ahli parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Datuk Dr Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula terhadap Azhar, Azalina, Mohd Rashid dan Nizam Mydin yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.
Dalam saman itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ia tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.
Kesemua plaintif juga menuntut deklarasi bahawa semasa perjalanan sesuatu persidangan Dewan Rakyat, sebaik sahaja usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dan/atau timbalan diluluskan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, maka tempoh 14 hari bagi pihak setiap ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan calon Yang Dipertua dan timbalannya adalah bermula dari tarikh usul itu diluluskan.