14 OGOS: Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini memerintahkan seorang pengarah penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 19 Ogos 2020 itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana disyaki terlibat dalam sindiket melindungi premis-premis perniagaan haram dan pusat perjudian.
Sumber SPRM ketika dihubungi mengesahkan, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.
Sementara itu,Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Penangkapan baharu ini menjadi keseluruhan 10 individu telah ditahan SPRM bagi kes berkenaan melibatkan sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga.