14 OGOS: Sebanyak 12 borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim telah dibeli daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak setakat semalam.
Pengarah SPR Perak, Mohd Nazri Ismail memberitahu, hanya calon Barisan Nasional (BN) yang sudah membayar deposit setakat ini manakala yang lain belum berbuat demikian.
Menurut beliau, calon-calon yang akan bertanding dinasihatkan untuk membayar deposit lebih awal bagi melancarkan perjalanan Hari Penamaan Calon esok.
“Kepada calon yang ingin bertanding, kita nasihatkan juga agar mereka buat semakan awal borang penamaan calon di pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri.
“Pada Hari Penamaan Calon esok, hanya calon, penyokong dan pencadang dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon. Tiada perarakan dan perhimpunan dibenarkan di situ. Sentiasa pakai pelitup muka dan patuhi arahan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nazri mengesahkan semua persiapan untuk esok berjalan lancar seperti dirancang dan raptai penuh akan diadakan pada petang ini.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.
Setakat ini dua calon sudah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz dinamakan sebagai calon BN manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi akan bertanding sebagai calon Bebas yang disokong Pakatan Harapan (PH).