SPRM tahan pengarah syarikat berkait balak
14 OGOS: Seorang bekas ahli lembaga pengarah dan dua orang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah yang membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.
Menurut sumber, ketiga-tiganya berusia antara 39 hingga 73 tahun ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM lewat petang semalam.
Sumber berkata, mereka ditahan atas kesalahan memberi dan menerima rasuah yang melibatkan wang berjumlah RM3 juta.
“Ini berhubung pengambilalihan projek pembalakan di salah satu daerah di negeri Pahang seluas 6,591.67 ekar pada 2015 lalu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ketiga-tiga akan dihadapkan ke mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terbabit.