14 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga lagi penguat kuasa MBSA Cawangan Sungai Buloh kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis-premis perniagaan tidak berlesen termasuk pusat perjudian di sekitar kawasan tersebut.
Menurut sumber, hasil soal siasat yang dijalankan telah mendedahkan rangkaian sindiket di kalangan anggota penguat kuasa yang mengutip wang rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis yang berkenaan.
Tiga yang ditahan berusia di antara 40 hingga 43 tahun lebih kurang jam 2 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Wang perlindungan ini seolah-olah menjadi suatu budaya di kalangan penguat kuasa sehingga menyebabkan peniaga-peniaga termasuk premis judi tidak takut kepada sebarang tindakan penguatkuasaan.
Ketiga-tiga anggota penguat kuasa akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Sebelum ini, dilaporkan SPRM telah menahan lima orang penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok berbangsa Acheh. Ini membawa kepada sembilan tangkapan setakat ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi bin Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut. -Oleh HAIKA KHAZI