15 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.
Ia melibatkan pertandingan antara Mohd Zaidi Aziz, 43 tahun, yang mewakili Barisan Nasional (BN), Amir Khusyairi Tanusi, 38, calon Bebas tajaan kem Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang lagi calon Bebas, Santhara Sekaran Subramaniam.
Pengumuman dibuat Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Shamsul Ridzuan Idris pada jam 10.30 pagi.
Beliau mengesahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima semua kertas pencalonan oleh ketiga-tiga calon pagi ini.
“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan itu dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya ketika mengumumkan nama-nama calon.
Santhara calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.02 pagi diikuti Mohd Zaidi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim selang seminit kemudian.
Sementara itu, Amir Khusyairi yang juga seorang peguam mengemukakan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi.
Terdahulu Santhara tiba di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim yang menjadi pusat penamaan calon pada pukul 8.20 pagi.
Mohd Zaidi yang bakal mempertahankan kerusi tradisi BN itu pula tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.55 pagi diikuti yang terakhir, Amir Khusyairi selang beberapa minit kemudian.
Kecuali Amir Khusyairi, Santhara dan Mohd Zaidi masing-masing berasal dari kawasan Slim.
Berikutan wabak Covid-19, tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan sekali gus menjejaskan kemeriahan hari penamaan calon yang seringkali diwarnai dengan perarakan serta laungan daripada penyokong parti bertanding.
Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan SPR, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon.
BN pada Rabu mengumumkan Mohd Zaidi sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan, manakala peguam Amir Khusyairi dinamakan sebagai calon mewakili kumpulan penyokong Dr Mahathir.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.
Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal. -Oleh M. HERMAN HAMID