15 OGOS: Kerangka penyatuan dan perpaduan orang Melayu dapat dijalinkan dengan kukuh selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju menyertai Muafakat Nasional (MN).
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, penyatuan itu akan memungkinkan MN menjadi teras politik nasional yang stabil berasaskan kepelbagaian kaum, fahaman dan agama.
Annuar berkata, ini merupakan masa terbaik ummah disatu padukan dengan menolak politik benci dan politik pecah belah.
“Persetujuan PPBM (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional melengkapkan kerangka penyatuan dan perpaduan orang Melayu. Tolaklah perpecahan. Syukur Alhamdulillah,”
“Kita berpadu barulah kita memerintah, khidmat untuk semua kaum dan bangsa,” katanya menerusi ciapan beliau di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk mentertai MN yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar atau the grand coalition.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan perutusan khas sempena Persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 hari ini yang menyatakan penyertaan parti itu dalam satu Jemaah menerusi MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Bendahari Pemuda Pas Malaysia, Roslan Md Esa menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri yang menyifatkan satu formula terbaik dalam memperkukuhkan MN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Kita boleh berlapang dada dalam perkara khilaf yang disifatkan kecil. Perkara yang lebih besar ialah penyatuan ummah dan kita boleh lihat orang Melayu duduk sepakat dan berlapang dada.
“Kita perlu betulkan balik kerana kita dah ada pengalaman di waktu 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan, tengok sendiri bagaimana penyelewengan berkuasa di kalangan mereka,”katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Roslan menambah, ini membuktikan keputusan yang dilakukan Bersatu ini demi kepentingan rakyat di samping menjamin kestabilan politik di negara ini.
“Kesejahteraan kaum lain juga pasti akan terjamin dan inilah waktu yang sesuai. Kawan-kawan lain (parti komponen MN) pasti akan bersetuju Bersatu bersama Muafakat Nasional
“Kita harus bersama memperkukuhkan Muafakat Nasional dan menjaga Perikatan Nasional dengan baik demi rakyat,” katanya.– Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH