15 OGOS: Risiko untuk seseorang dijangkiti COVID-19 daripada makan sejuk atau bungkusan sejuk beku import yang tercemar tetap ada walaupun amat kecil.
Pakar Perunding Kanan bahagian Penyakit Berjangkit Hospital Universiti Nasional, Prof Dale Fischre, berkata, ini kerana virus mengakibatkan COVID-19 boleh kekal hidup sekurang-kurangnya tiga minggu pada suhu empat darjah Selsius.
Beliau mencapai keputusan itu selepas melakukan kajian virus Sars-CoV-2 terhadap ikan salmon dan daging babi selepas tiga minggu iaitu tempoh mencukupi bagi barangan terbabit dieksport dan dijual.
Jangkitan menerusi makanan diimport menjadi isu utama berikutan kemunculan semula COVID-19 di New Zealand selepas 102 bebas virus itu, sehingga memaksa perintah berkurung 12 hari di Auckland.
Empat daripada mangsa yang dijangkiti adalah pekerja pusat sejuk beku, sekali gus menimbulkan syak mereka mungkin mendapat wabak itu daripada bahan makanan yang diimport, sebelum menyebarkannya kepada mangsa lain.
China baru baru ini melaporkan menemui virus itu pada kepingan sayap ayam beku diimport dari Brazil, di mana pandemik itu masih berleluasa, selain daripada bungkusan udang sejuk beku dari Ecuador.
Jun lalu, COVID-19 dilaporkan ditemui pada papan yang diguna bagi memotong salmon import di pasar di Beijing, yang menyebabkan kluster lebih 200 kes dikaitkan dengannya.
Agensi Makanan Singapura berkata ia sedang memantau rapat perkembangan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan makanan di republik itu walaupun belum ada bukti wujud jangkitan virus daripada makanan atau bungkusan makanan kepada manusia.
Secara umum, katanya, sentuhan dengan makanan atau bungkusan makanan atau peralatan tiada bezanya berbanding sentuhan dengan permukaan lain seperti butang lif atau tombol pintu.