16 OGOS: PAS menyokong penuh keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan oleh UMNO dan PAS pada 14 September tahun lalu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penyertaan BERSATU akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal dan isu-isu berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan bumiputera dan kepentingan nasional secara umumnya.
Menurut beliau, PAS juga yakin gandingan parti-parti UMNO, PAS dan BERSATU bukan sahaja akan mewujudkan suatu gagasan besar Melayu Raya, dan sekali gus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya seperti termaktub dalam undang-undang teras Malaysia serta sejarah dan pengalaman panjang yang dilalui bersama.
“Kerjasama yang digagaskan atas asas muafakat, persefahaman serta perpaduan ini pasti akan mewujudkan iklim yang harmoni, kondusif dan berwibawa ke arah membangunkan seluruh sektor masyarakat dan wilayah demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya.
“PAS meyakini gabungan bersepadu kepimpinan MN yang akan diterajui oleh Presiden UMNO, PAS dan BERSATU merupakan gandingan terbaik untuk menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN