Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri perjumpaan bersama barisan pemimpin negeri ini, di sebuah hotel, di sini, malam ini.
Memetik laporan BERNAMA, perjumpaan tersebut diadakan bersempena lawatan dua hari Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ke negeri ini.
Ketibaan Pemangku Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada kira-kira 8.15 malam itu, disambut Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.
Turut hadir pada majlis tertutup itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Pengerusi MIC Johor, R.Vidyananthan.
Perjumpaan itu turut melibatkan kepimpinan bahagian UMNO, Bersatu, PAS, MCA dan MIC.
Selain Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, kesemua 10 ADUN dari Bersatu turut kelihatan pada majlis berkenaan.
Terdahulu, dalam perutusan khas sempena persidangan Angkatan Muda Bersatu (Armada), Srikandi dan Bahagian Bersatu, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Muhyiddin, hari ini, beliau berkata penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
Muhyiddin berkata, dengan menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN), maka, Bersatu akan berada dalam satu gabungan besar atau ‘the grand coalition’.