16 OGOS: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir dianggap ketinggalan zaman dari segi pemikiran politik kerana masih berpegang kepada sistem politik yang menetapkan mana-mana gabungan mesti diketuai oleh pemimpin parti yang terbesar.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, Muafakat Nasional (MN) tidak lagi berpegang kepada amalan parti politik terbesar mesti mengetuai gabungan atau kerajaan.
Sebaliknya, jelas beliau, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan PAS menghormati prinsip kewujudan bersama atau ‘taayush’ yang ditekankan dalam model politik baharu.
“Tak timbul soal siapa jadi calon, ketiga-tiga parti boleh jadi calon,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan lesen penjaja di Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas tentang laporan media berhubung kenyataan Mukhriz yang mempersoalkan tentang kesediaan MN memberi laluan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pengerusi.
Annuar secara sinis menyatakan, amalan ketua parti terbesar dilantik menjadi pengerusi gabungan politik hanya terpakai untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Buat parti, siapa jadi pengerusi, bapa lantik anak jadi presiden, itu model lama,” jelasnya.
Beliau turut mempersilakan Pejuang untuk meniru model baharu yang digunakan MN dengan memberi keutamaan kepada toleransi dalam kalangan parti-parti di bawahnya.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, melalui model baharu tersebut, BN bersedia menyokong Muhyiddin menjadi Perdana Menteri walaupun parti itu mempunyai jumlah kerusi terbanyak.
“Untuk anakanda saya Mukhriz, belajarlah politik cara baharu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Annuar memberitahu, pengumuman Bersatu menyertai MN yang dibuat oleh Muhyiddin semalam akan melancarkan lagi usaha kerajaan untuk menstabilkan politik dan ekonomi negara.
Beliau berharap semua pihak dalam MN melihat pengumuman oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu itu dari sudut pandangan rakyat, dan bukannya sekadar mempertimbangkan kepentingan parti masing-masing sahaja.
“Pemimpin parti patut cari jalan ke arah kestabilan permuakafatan, itu yang kita lakukan. UMNO, BN, PAS ada ego, kita telan ego kita,” jelasnya.
Annuar menambah, langkah seterusnya adalah Jawatankuasa MN akan memurnikan kemasukan Bersatu dari segi pindaan piagam serta merangka memorandum persefahaman (MoU). – Oleh HUSSAINI AMRAN