16 OGOS: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dipilih sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang baharu bagi penggal 2019 hingga 2022.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Armada Sabah, Ceasar Mandela Malakun, pula dipilih sebagai Naib Ketua ARMADA bagi tempoh yang sama.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata seramai 9,496 orang perwakilan telah mengundi ketika persidangan tahunan ARMADA bahagian di seluruh negara semalam.
“Daripada 173 bahagian ARMADA yang layak bersidang, 164 telah berjaya mengadakan persidangan manakala sembilan bahagian gagal bersidang kerana ketiadaan korum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Hamid berkata pada pemilihan julung kali diadakan itu, perwakilan turut memilih Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap dan 15 Ahli Jawatankuasa ARMADA.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal dalam hantaran di Facebook berkata pemilihan beliau sebagai Ketua ARMADA adalah satu amanah yang besar dan akan memberikan yang terbaik untuk anak muda.
“Terima kasih atas amanah yang begitu besar ini…Fokus kita ialah #penyatuanARMADA dan BERSATU itu sendiri, dan mulakan kerja segera demi rakyat Malaysia. Bersatu – Beramanah – Bermaruah,” katanya sambil meletakkan tanda pagar #NafasBaru #kekalBERSATU.
Berikut adalah keputusan rasmi pemilihan Ahli Jawatankuasa ARMADA bagi penggal 2019-2022:
Pengerusi Tetap: Akmal Zahin Zainal Zahir
Timbalan Pengerusi Tetap: Mohamad Syaiful Ibrahim Shahli
Ketua: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Naib Ketua: Ceasar Mandela Malakun
Ahli Jawatankuasa:
1. Abqaree Fawwaz Abekan
2. Adi Farhan Isa
3. Muhammad Afiq Nazmi Azharin
4. Khairul Amilin Abdullah Shukor
5. Rosdi Ghani
6. Johainizamshah Johari
7. Muhamad Zulfadly Zulkifly
8. Muhammad Zikri Zulkifli
9. Muhammad Farhan Abdul Rahim
10. Henry Hamdan
11. Mohamad Firdaus Mohd Rashid
12. Mohd Amir Fitri Muharam
13. Jun-Abdul Mutalib Hasan
14. Haris Faizal Ismail
15. Ahmad Sobree Abas.