17 OGOS: Akta Orang Asli 1954 perlu dikaji dan dirombak semula kerana sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa terutama dari aspek perjuangan membela dan menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata langkah berkenaan perlu kerana kali terakhir akta berkenaan dipinda adalah pada tahun 1967 dan dikaji semula sekali lagi pada 1974 iaitu 46 tahun lalu.
Beliau berkata antara pindaan perlu dimasukkan ialah dari segi hak milik tanah Orang Asli yang tidak diberikan kawasan penempatan khusus untuk mereka tinggal.
“Masyarakat Orang Asli di Malaysia juga jauh ketinggalan dari segi sosio ekonomi, pendidikan dan taraf hidup mereka tetapi mereka tidak diberikan tanah untuk membina rumah sendiri.
“Jadi saya mahu kerajaan memberikan penjelasan mengenai usaha yang dilakukan bagi meningkatkan pemilikan tanah terutama oleh generasi kedua masyarakat Orang Asli yang mempunyai pendidikan dan latar belakang ekonomi lebih baik,” katanya ketika berucap membahaskan usul
Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Parlimen, sebentar tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor ketika mencelah menyokong penuh cadangan supaya Akta Orang Asli 1954 dipinda dan meminta kerajaan turut meminda Kanun Tanah Negara dan Enakmen Tanah di peringkat negeri bagi membolehkan masyarakat Orang Asli mendapat tanah sesuai untuk pembinaan kediaman masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Jalaluddin juga menggesa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) supaya membantu membina rumah lebih selesai kepada pasangan Orang Asli yang sudah memeluk Islam.
“Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan mengenai apakah langkah diambil bagi membantu masyarakat Orang Asli yang sudah memeluk agama Islam tetapi mereka masih tinggal dalam kediaman keluarga asal.
“Masalah ini berlaku di mana-mana, malah di kawasan saya tidak sampai 10 peratus Orang Asli yang sudah memeluk Islam tinggal berasingan dengan keluarga asal mereka.
“Apabila kita tanya JAKOA mereka memaklumkan tiada peruntukan khusus untuk membantu pasangan Orang Asli yang baru memeluk agama Islam. Setahun hanya satu rumah Tuan Speaker sedangkan ramai Orang Asli masuk Islam setiap tahun.
“Jadi bagaimana kita mahu perkukuhkan pegangan Islam jika mereka masih tinggal bersama keluarga asal bukan Islam. Kalau boleh kita bina sebuah rumah dalam lingkungan kawasan perumahan dan tanah keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga boleh menggunakan wang kutipan zakat untuk membina rumah kepada pasangan Orang Asli yang sudah memeluk Islam kerana mereka adalah salah satu daripada asnaf yang layak menerima wang zakat.
Sebagai contoh, sumbangan zakat di Negeri Sembilan adalah sebanyak RM131 juta dan jika kita gunakan 5 peratus daripadanya untuk membina kediaman Orang Asli maka kita boleh bina 131 rumah bernilai kira-kira RM50,000 setiap satu untuk kemudahan Orang Asli yang menjadi satu daripada lapan kumpulan asnaf yang layak merima zakat dalam Islam,” katanya.