17 OGOS: Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mengharapkan agar kerajaan menghargai kepada penjawat awam kontrak dengan membenarkan mereka memohon pinjaman kenderaan dan perumahan.
Beliau berkata, pekerja kontrak ini perlu dipermudahkan terhadap dua pinjaman tersebut setaraf dengan pekerja tetap kerajaan.
“Kakitangan kontrak ini selalu dianaktirikan. Mereka tidak diberi pinjaman perumahan, tidak diberi pinjaman kenderaan,” katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut bersetuju dengan cadangan yang disuarakan oleh Ahmad yang mengharapkan agar kerajaan melakukan satu pertimbangan terhadap perkara tersebut.
“Seperti disebut Pontian tadi pekerja kontrak, kita pertimbangkan satu keistimewaan ini, dia tidak dapat pinjaman kenderaan dan perumahan. Pinjaman ini perlu dibenarkan, kita perlu buat perubahan baharu kepada kakitangan kontrak,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika menggulung perbahasan tersebut memberitahu, pihaknya akan meneliti perkara itu dengan serius agar kemudahan kepada pekerja kontrak kerajaan itu dapat dilaksanakan.
“Ini melibatkan dasar dan diberi perhatian dan kita akan mengkaji untuk melaksanakan cadangan Yang Berhormat Arau,” katanya.