17 OGOS: Sembilan daripada 10 jangkitan tempatan COVID-19 yang dilaporkan hari ini melibatkan dua kluster di Kedah iaitu Tawar dan Sala.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Tawar mencatatkan tujuh kes baru termasuk tiga kes dilaporkan di Pulau Pinang manakala dua lagi dari kluster Sala.
Katanya, satu lagi kes tempatan melibatkan kes saringan pra pembedahan di Hospital Sungai Buloh dengan keseluruhannya terdapat 12 kes baru COVID-19 yang dilaporkan hari ini.
“Dua lagi kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan jangkitan dari negara Syria dan Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 17 kes yang telah pulih pada hari ini dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 211 kes.
“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dengan kekal 125 kes,” jelasnya.
Mengenai kluster Tawar, Noor Hisham berkata, setakat ini 46 orang disahkan positif COVID-19 dari kluster tersebut dengan tujuh kes baru yang dilaporkan hari ini melibatkan generasi ketiga.
“Seramai 1,135 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan tiga negeri dengan 251 masih menunggu keputusan,” katanya.
Berhubung kluster Sala pula, katanya, 273 orang telah disaring termasuk empat di Pulau Pinang.
“Setakat ini enam kes disahkan positif manakala 49 lagi masih menunggu keputusan,” jelasnya yang terus menasihati orang ramai mematuhi nasihat kesihatan daripada pihak berkuasa bagi mencegah COVID-19. -Oleh M. HERMAN HAMID