17 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan pingat Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai penghormatan kepada semua petugas Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, gelaran dan darjah kebesaran yang diterimanya itu merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam.
“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik COVID-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.
Noor Hisham dikurniakan darjah kebesaran tersebut dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya, hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN