17 OGOS: Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memperbetulkan dakwaan kurang tepat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya usul Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) menyebabkan berlaku pembaziran dalam situasi kerajaan memerlukan dana untuk menangani kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Beliau memberitahu bahawa jumlah peruntukan yang bernilai RM7.184 bilion tersebut bukan penambahan bajet tetapi penguntukan semula sejumlah wang daripada Kementerian Kewangan.
“Saya ingin menyatakan di sini bawa RUU ini ialah untuk memperuntukkan sejumlah wang bukan ada penambahan bajet apa-apa, bererti RM7.184 bilion dalam bajet 2020 yang ini juga sama RM7.184 bilion memperuntukkan semula. Tidak ada sebarang penambahan bajet.
“Kalau Yang Berhormat Sik tak percaya, nanti Timbalan Menteri Kewangan akan jawab, saya tidak mahu mencelah Langkawi tadi sebab saya menghormati Langkawi,” katanya ketika mencelah Ahli Parlimen PAS Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman ketika membahaskan usul tersebut dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir dalam perbahasannya mencadangkan supaya usul tersebut ditolak dan meminta kerajaan mengurangkan perbelanjaan bagi mengelakkan defisit yang tinggi.
“Saya berpendapat bahawa tindakan ini tidak bijak dan rugikan kerajaan dan tidak boleh sokong satu pembaziran dibuat secara terbuka oleh kerajaan.
“Saya berpendapat usul ini patut ditolak sama sekali oleh dewan ini jika dewan ini bertanggungjawab,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH