18 OGOS: Seramai 11 individu termasuk seorang pengurus operasi syarikat kejuruteraan perkapalan direman selama 4 hari bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah bernilai kira-kira RM750,000 berkaitan projek pembaikan kapal dari tahun 2015 hingga 2019.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 21 Ogos 2020 Ogos depan itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Menurut sumber, suspek terdiri daripada seorang pengurus operasi maritim serta selebihnya kakitangan eksekutif berumur antara 37 hingga 56 tahun tersebut ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Bahru dan sekitar negeri itu dalam satu operasi yang dijalankan sejak awal pagi semalam.
Difahamkan, kesemua suspek tersebut telah meminta dan menerima wang rasuah daripada dua buah syarikat kontraktor sebagai balasan memberikan projek pembaikan kapal dan mempercepatkan proses tuntutan pembayaran.
Suspek dikatakan telah meminta kedua-dua buah syarikat kontraktor tersebut supaya membayar rasuah secara berperingkat.
Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.