18 OGOS: Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sekali lagi ‘panas’ apabila dicuit dengan isu lantikan politik dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berlaku semasa mereka berkuasa selama 22 bulan.
Kali ini, Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan senarai yang mengandungi nama 52 pemimpin PH yang dilantik dalam agensi kerajaan dan GLC ketika membahaskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Walaupun jelas lantikan yang bercanggah dengan janji dalam manifesto PH semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu memang berlaku, Ahli Parlimen PH Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham cuba menegakkan benang basah dengan mempersoalkan senarai yang dibangkitkan Ahmad Fadhli ketika beliau bangkit mencelah.
Dengan tenang, Ahmad Fadhli bertanya kepada Koo Ham ‘soalan cepumas’ yang menyebabkan beliau terdiam.
“Yang Berhormat (Beruas), cuba jawab soalan saya. Adakah kesemua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilantik dalam GLC sehingga tiada seorang pun dalam agensi kerajaan?
“Ahli-ahli Perikatan Nasional bukan semua yang diletak dalam GLC tetapi ada yang mengepalai agensi-agensi kerajaan. Janganlah kelirukan rakyat dengan kata semua ahli-ahli Parlimen dilantik GLC,” tegasnya.
Sebelum itu, beliau berharap kerajaan PN mengambil tindakan untuk memperbetulkan persepsi negatif yang dimainkan PH bagi mengelirukan rakyat tentang lantikan pemimpin-pemimpin politik dalam GLC.
Ahmad Fadhli berpandangan, sekiranya perkara itu dibiarkan, ia akan memberi kesan tidak baik terhadap kerajaan.
“Ini satu tuduhan yang saya kira tidak tepat dan wajar dijadikan sebagai momokan kerana sebelum ini PH pun penjawat politik dalam GLC dan juga agensi kerajaan yang tidak jadi masalah pun kerana lantikan ini dasar-dasar kerajaan dapat diterjemah dalam agensi tersebut,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH