18 OGOS: Seramai 15.1 juta pengguna sudah mendaftar dengan aplikasi MySejahtera, sehingga 16 Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, aplikasi itu juga dapat membantu kerajaan mengesan pesakit COVID-19 melalui fungsi penilaian kesihatan kendiri.
Beliau berkata setakat 16 Ogos lalu, seramai 322 pesakit COVID-19 iaitu 3.4 peratus dari 9,200 kes berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera.
“Pengguna perlu menjawab soalan berhubung keadaan kesihatan dan maklumat perjalanan mereka sewaktu mula-mula menggunakan aplikasi itu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Pengguna seterusnya perlu mengemaskini keadaan kesihatan dan maklumat perjalanan mereka dari semasa ke semasa untuk mengetahui risiko mereka terhadap COVID-19.
“Bagi tujuan pengesanan kontak pula, pencarian kontak secara tepat dapat dilakukan melalui MySejahtera dan jumlah kontak yang dikesan adalah bergantung kepada kes positif COVID-19,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Redzuan menjawab soalan Ahli Parlimen PH Gopeng, Dr Lee Boon Chye yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pengguna aplikasi MySejahtera dan setakat mana aplikasi itu membantu untuk mengawal pandemik COVID-19.
Mengulas lanjut, beliau berkata, keberkesanan mengesan kontak adalah bukti aplikasi MySejahtera dapat membantu kerajaan mengawal penularan wabak COVID-19.
Katanya, MySejahtera membantu mengesan kontak rapat bagi pesakit COVID-19 melalui maklumat pengimbasan kod QR premis yang dilakukan oleh pengguna aplikasi itu.
“Versi MySejahtera terkini juga membolehkan pengguna merekodkan tanggungan mereka ketika mengimbas kod QR dan ini dapat memastikan setiap pelanggan di sesebuah premis perniagaan dapat direkodkan.
“Justeru, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat dan pemilik premis perniagaan yang telah menggunakan aplikasi MySejahtera serta berharap aplikasi ini dapat diperluaskan lagi penggunaannya oleh semua pihak dengan semangat ‘Kita Jaga Kita’,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI