18 OGOS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 bagi mengehadkan kuasa Perdana Menteri daripada menggunakan kuasanya untuk mengisytihar kawasan tertentu sebagai zon keselamatan.
RUU tersebut akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan untuk bacaan kali pertama dan dijadualkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga dalam sidang Dewan Rakyat kali ini juga.
Terdahulu, pindaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 pernah dibentangkan di Dewan Rakyat pada April tahun lalu, namun pada Julai, ia ditarik balik kerajaan terdahulu mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Usul RUU tersebut menyaksikan kuasa-kuasa perdana menteri digugurkan dan hukuman lebih berat bawah peruntukan sedia ada ketika dibentangkan pada waktu itu.
Selain itu, ia mengusulkan kuasa-kuasa mengisytihar zon keselamatan dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun Perdana Menteri kekal sebagai Pengerusi MKN.