18 OGOS: Setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada bekas Menteri Pelancongan era Pakatan Harapan (PH) akan didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya esok berhubung kes rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan perkhidmatan pengiklanan.
Mengikut senarai kes mahkamah, kes Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi pada 9 pagi.
Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereman Mohd Saifullah bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Lelaki berkenaan yang berumur 29 tahun itu direman selama lima harı mulai 15 Ogos lalu sehingga esok.
Memetik laporan media, difahamkan dia akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan menerima rasuah pada tahun lepas di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Lelaki itu yang beralamat di Semporna Sabah ditahan bersama tunangnya yang berusia 28 tahun.
Pada Sabru lalu, bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi meminta pihak yang mengaitkan dirinya dengan kes rasuah bekas setiausaha sulit kanannya agar mengemukakan bukti berdokumen.
Beliau turut bersedia dibawa ke mahkamah jika ada bukti mengenai perkara itu, seperti dilapor Bernama.