19 OGOS: Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu mengaku tidak bersalah atas 18 pertuduhan menerima dan meminta rasuah bernilai lebih RM3.1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Tertuduh yang berusia 29 tahun memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Turut didakwa ialah tunangnya, Nurfadziana Abdul Kadir, 27, atas kesalahan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM232,000.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur iaitu di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli belah Pavilion, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Vipod Residences, di Maybank Taman Tun Dr Ismail dan Wisma Genting dan di pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya antara 19 Jan hingga 29 Julai, 2019.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.
Mengikut 14 pertuduhan, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah berjumlah RM2,871,500 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada serta Abdul Halim Khuajah.
Ia sebagai upah untuknya yang berjanji mendapatkan tender ‘Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif Untuk Kempen Pengiklanan Tourism Malaysia’ serta ‘Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan Bagi Pasaran Negara-Negara Asia Utara dan Asia Timur Tourism Malaysia” untuk Inter Bev Network.
Tertuduh juga didakwa berjanji untuk mendapatkan tender ‘RFP-Global Advertising Agency And Promotion For Tourism Malaysia’ kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.
Bagi tiga pertuduhan pula, Mohd Saifullah didakwa secara rasuah meminta daripada Ronald melalui Roslan iaitu pembayaran deposit dan sewaan seunit rumah di Vipod Residences, No. 6, Jalan Kia Peng, di sini, berjumlah RM20,015 melalui cek Maybank yang diberikan kepada Roslan.
Dia juga didakwa menerima suapan daripada Ronald bagi pembayaran sewa rumah sama berjumlah RM5,500 secara pindahan akaun Maybank melalui Roslan.
Mengikut satu lagi pertuduhan, Mohd Saifullah dituduh menerima suapan RM232,000 daripada Ronald melalui tunangnya, Nurfadziana berhubung perkara sama.
Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM200,000 dan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sebelum 2 September ini dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan.
Azman menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.