19 OGOS: Lebih tiga juta ahli UMNO di semua peringkat harus berlapang dada dan mempamerkan sikap terbuka sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sah menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN).
Ahli Majlis Tertinggi (MT), UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, semua ahli dan pemimpin UMNO harus menerima semula bekas rakan seperjuangan yang pernah meninggalkan parti dan kini bersama BERSATU demi masa depan agama, bangsa dan negara.
“Saya amat faham memang sukar untuk kita menerima mereka yang meninggalkan kita sewaktu kalah tapi dalam hal ini UMNO mesti mempamerkan sikap terbuka untuk kembali bekerjasama dengan bekas ahlinya demi masa depan agama, bangsa dan negara.
“Begitu juga PAS. PAS yang selama ini memusuhi UMNO telah bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO dalam MN. Jadi, peranan PAS selepas ini mengimbangi antara PAS dan juga BERSATU dan ini memerlukan sikap keterbukaan.
“Semua pihak khususnya parti-parti politik Melayu ketika ini perlu bersikap terbuka kerana orang Melayu tidak lagi boleh berpecah. Parti-parti politik Melayu ini perlu bekerjasama dalam satu pasukan yang mana ia juga merupakan harapan orang Melayu dan Islam untuk melihat penyatuan ummah di negara ini,” ujarnya seperti dilaporkan UMNO Online.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, walaupun perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi parti politik Melayu bersama dalam MN memerlukan sikap keterbukaan yang cukup tinggi terutama membabitkan kepimpinan parti-parti politik Melayu di negara ini.
“Kerana itu jugalah, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini harus dijadikan medan penyatuan antara UMNO, PAS dan BERSATU. Kita buktikan di Slim, UMNO mampu berlapang dada menerima mereka kembali kerana inilah yang sedang ditunggu-tunggu oleh semua orang Melayu,” tegasnya.