19 OGOS: Sekali pandang, mungkin ramai menyangka ia sebuah model kereta lumba baharu Tamiya yang ‘meluncur’ bergaya sebelum berhenti di simpang jalan raya sibuk di sekitar Brunei.
Namun, foto ini yang tular dalam kalangan ramai pengguna media sosial di negara kecil Borneo itu sejak 12 Ogos lalu, kemudian disahkan oleh pihak berkuasa Brunei sebagai gambar palsu!
Akhbar tempatan melaporkan, perkara tersebut diakui sendiri oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hasil siasatan terperinci yang dilakukan.
Menerusi kenyataan media, pihak JPD menjelaskan bahawa imej berkenaan kemungkinan besar hanya dibuat secara teknik Photoshop oleh individu terbabit dan bagi tujuan suka-suka sahaja.
Justeru, ia mengingatkan netizen untuk tidak menyebarkan maklumat atau gambar yang disunting sehingga boleh mengelirukan orang ramai, khususnya dalam hal yang jelas menyalahi peraturan jalan raya.
Ia ekoran model kereta ‘sport’ itu sendiri yang secara terang-terangan cuma untuk litar perlumbaan dan memang tidak boleh dipandu di atas jalan raya selain tidak memaparkan nombor plat pendaftaran sah.
Malahan, foto itu jika diamati dengan teliti juga amat tidak logik kerana pemasangan aksesori yang agak keterlaluan serta model Tamiya diketahui memang merupakan kereta kawalan radio.
Syarikat pengeluar pelbagai model kereta lumba permainan saiz kecil dari Jepun yang diasaskan pada 1946 itu begitu popular di seluruh dunia dan menjadi kegilaan ramai peminat tanpa mengira usia.
JPD turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat tidak sahih kepada orang awam merupakan satu kesalahan serius yang boleh didakwa mengikut Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam Brunei.
Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah, individu tersebut boleh terima hukuman penjara sehingga tempoh maksimum tiga tahun atau denda tidak kurang daripada B$3,000 (RM9,180).