19 OGOS: Barisan kepimpinan baharu sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi tumpuan kepada gerak kerja berpasukan dalam memperkukuh parti dan menyantuni rakyat.
Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kebersamaan itu akan dibentuk melalui gerak kerja kepimpinan Srikandi di semua peringkat termasuk pusat, negeri, bahagian dan cawangan melalui gerakan penambahan ahli dan latihan persediaan jentera pilihan raya.
“Selain itu, kita juga akan memantapkan gerak kerja Srikandi dalam aspek pembentukan jaringan kemasyarakatan akar umbi.
“Ini bagi memastikan Srikandi memainkan peranan untuk memantau dasar kerajaan Perikatan Nasional dilaksanakan dengan optimum dan sampai ke sasaran,” kata beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Rina berkata gerak kerja tersebut dicapai dan diputuskan dalam mesyuarat khas kali pertama barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Srikandi Bersatu Malaysia 2020-2023, di sini, semalam.
Rina menjelaskan, Srikandi akan memastikan rakyat dan akar umbi mendapat penjelasan dan manfaat daripada strategi serta pendekatan yang telah diumumkan kerajaan seperti dalam menangani impak pandemik COVID-19, aspek pemulihan wabak dan ekonomi negara.
“Kita juga mahu keprihatinan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, contohnya melalui pengumuman PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara), dapat dimanfaatkan dan dirasai oleh rakyat di seluruh pelosok tanah air.
“Saya telah menekankan kepada semua barisan kepimpinan Srikandi yang telah dipilih bahawa keputusan telah dibuat akar umbi dan mereka telah menang kerana mereka adalah calon yang menjadi keutamaan para perwakilan akar umbi,” katanya.
Justeru, Rina berkata kini tiba masanya bagi barisan kepimpinan untuk memastikan Srikandi dan parti dapat digerakkan dengan lebih berkesan untuk mencapai slogan “Menangkan Rakyat, Utamakan Rakyat.”