18 OGOS: Polis berjaya menyelesaikan kes culik membabitkan lelaki dalam masa kurang 12 jam dengan tertangkapnya lima suspek utama, pada jam 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan, kelima-lima suspek yang berusia 18 hingga 40 tahun ditahan di hotel di pusat bandar.
Berikutan itu Meng Seah berkata polis juga merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai digunakan suspek untuk menculik mangsa.
Meng Seah berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik dan siasatan awal mendapati penculikan itu berkaitan dengan motif perniagaan.
“Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan berhubung insiden yang turut mendatangkan kecederaan buat mangsa.
“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan kes penculikan ini yang berlaku semalam,” tambahnya.
Dalam kejadian di hadapan kedai makan di Jalan Bintang Jaya 2 pada jam 4 petang semalam, suspek menghumban mangsa ke dalam MPV sebelum membawanya lari.
Mangsa ditemui semula pada jam 7 petang dan ditinggalkan di hadapan bank di pusat bandar. Malah kejadian itu dirakam orang awam yang turut berada berdekatan sebelum rakaman 18 saat itu tular.