19 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim merupakan titik penanda aras bagi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam gerak kerja sebelum menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Faizal Supar berkata, kerjasama mahupun muafakat antara satu dengan yang lain harus dilihat dan dibuktikan pada PRK kali ini.
Menurut beliau, kerjasama jitu tersebut pasti akan membuahkan kemenangan kelak.
“PRK ini secara kebetulan berlaku sebelum PRU yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
“Jadi kerjasama secara berpasukan di kalangan semua parti cukup penting dan tidak mustahil Barisan Nasional (BN) akan mencapai kemenangan besar pada PRK DUN Slim ini,’’ katanya seperti dipetik daripada laporan UMNO Online, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Faizal berharap pengundi muda pada PRK DUN Slim memberi kepercayaan kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz pada 29 Ogos ini.
Beliau menambah, Mohd Zaidi bukan sahaja boleh dianggap mewakili orang muda malahan daripada ‘kilang pemuda’ itu sendiri selain mempunyai pelbagai pengalaman baik dalam persatuan belia mahupun pertubuhan kemasyarakatan.
‘’Jadi ini adalah peluang terbaik untuk pengundi di DUN Slim khususnya golongan muda untuk sama-sama menaruh harapan serta memberi kepercayaan kepada Mohd Zaidi dalam usaha membawa aspirasi dan agenda mereka selain kepentingan penduduk setempat itu sendiri.
“Saya penuh yakin dan percaya dengan pengalaman serta kewibawaan yang ada pada Mohd Zaidi insya-Allah, beliau mampu menggalas amanah serta tanggungjawab yang diberikan kelak,’’ katanya.