20 OGOS: Arab Saudi tidak akan mengikut langkah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sehingga rejim Zionis itu menandatangani perjanjian damai yang diakui secara antarabangsa dengan Palestin.
UAE adalah negara Teluk pertama yang menormalisasikan hubungan dengan Israel hingga memberi tekanan kepada negara Arab lain termasuk Arab Saudi untuk melakukan perkara sama.
Memetik laporan AFP, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud menolak kesepakatan itu hingga isu Palestin diselesaikan.
Beliau berkata, perdamaian harus dicapai dengan Palestin berdasarkan perjanjian antarabangsa sebagai prasyarat untuk sebarang normalisasi hubungan.
“Selepas perkara itu dicapai, barulah semua perkara mungkin dilakukan,” katanya ketika lawatan di Berlin.
Arab Saudi tetap dengan pendiriannya dalam isu Palestin walaupun menjalinkan hubungan rahsia dengan Israel dalam beberapa tahun lalu, dalam pergeseran yang diketuai oleh pemimpin Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
Dalam pada itu, Putera Faisal juga mengulangi kritikan dasar sepihak terhadap pencerobohan di Tebing Barat yang tidak sah dan merugikan dua negara, namun optimis dengan perjanjian bahawa Israel bersetuju untuk menangguhkan penggabungan wilayah Tebing Barat.
Dalam pada itu, menantu dan penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump iaitu Jared Kushner turut memberi tekanan kepada Arab Saudi bahawa Riyadh seperti bersetuju untuk menjalinkan hubungan kesepakatan itu, walaupun sebenarnya Riyadh tidak lagi memberi sebarang kenyataan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Israel akan membuka koridor di Arab Saudi untuk penerbangan ke UAE.
Sementara itu, pensyarah di Essex University, Aziz Alghashian berkata, jika kesepakatan dilakukan, ia seolah satu pengkhianatan kepada penduduk Palestin, mencalar imej sebagai pemimpin negara Islam dan perkara yang tidak masuk akal.
Kekangan terbesar untuk normalisasi Arab Saudi-Israel bukanlah ketakutan akan reaksi balas domestik dan serantau, sebaliknya, Arab Saudi menganggap tidak perlu menormalisasikan hubungan di luar kerangka Inisiatif Perdamaian Arab yang menuntut penyelesaian masalah Palestin, jika masih ingin dilihat sebagai pemimpin dunia Muslim dan Arab,” jelasnya.