20 OGOS: Tindakan sekumpulan ahli Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kuching menampal pelekat bertulisan Cina pada papan tanda jalan di sekitar Kuching, Sarawak dipertikaikan oleh netizen.
Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi dalam laman Facebook DAP Sarawak, pelekat tersebut ditampal pada papan tanda Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Greenhill.
Walau bagaimanapun, tidak pasti sama ada mereka telah mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berbuat demikian.
Ramai netizen yang kesal dengan perbuatan yang seolah-olah menyerupai vandalisme terhadap harta awam.
Ada juga yang menyindir mengapa ahli-ahli DAPSY Kuching tidak menampal juga pelekat nama jalan dalam bahasa etnik yang lain di Sarawak seperti Iban, Bidayuh dan Murut.
Isu tersebut turut dibangkitkan dalam laman Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.
Secara sinis, beliau ‘memuji’ ahli-ahli DAPSY Kuching yang sanggup bekerja pada hari cuti umum sempena Maal Hijrah.
“DAP mengambil inisiatif sendiri meletakkan tulisan Cina di papan tanda jalan raya tadi.
“Syabas dan tahniah kita ucapkan kepada DAP kerana inilah yang amat diperlukan rakyat ketika ini,” katanya.
Pemimpin-pemimpin DAP sebelum ini pernah membuat bantahan keras apabila beberapa PBT di negara ini memasang papan tanda yang memaparkan nama jalan dalam tulisan jawi.
Malah, seorang wakil rakyat DAP iaitu ADUN Tras, Chow Yu Hui telah mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Pahang pada awal bulan lalu kerana membantah penggunaan tulisan jawi pada papan tanda.
Diharap PBT terbabit mengambil tindakan sewajarnya terhadap ahli-ahli DAPSY Kuching sekiranya mereka menampal pelekat tulisan Cina tanpa kelulusan. – Oleh HUSSAINI AMRAN