20 OGOS: Polis menahan seorang lelaki di kawasan Sea Park, Petaling Jaya, awal pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam pertelingkahan dan mengugut seorang lagi lelaki, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek dikatakan mengugut lelaki itu menggunakan bahasa Tamil hingga menimbulkan ketakutan kepada isteri lelaki berkenaan.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, perbuatan suspek terbabit turut dirakam, sebelum tular menerusi media sosial.
“Siasatan awal mendapati perselisihan faham yang berlaku antara dua individu berkenaan iaitu pengerusi baharu persatuan pengurusan kuil (suspek) dengan pengerusi lama di sebuah kuil di Sea Park.
“Tangkapan suspek membawa kepada penemuan dua senjata api bersama lapan peluru yang ditemui di pejabatnya di Balakong, Cheras, pada hari sama.
“Semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api sah dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek direman sehari mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Namun, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis kerana reman diperolehi sudah tamat tetapi dua pistol yang dirampas masih dalam simpanan polis.
“Kita mencadangkan supaya kelulusan senjata api suspek dikaji semula atas kepentingan dan keselamatan awam.
“Siasatan masih meneruskan siasatan ke atas kedua-dua pihak yang bertelagah termasuk meneliti pembabitan serta pengaruh Geng 21, Geng 08 dan Geng 04,” katanya.