21 OGOS: Semua pemimpin parti dalam Muafakat Nasional (MN) mahupun kerajaan Perikatan Nasional (MN) dinasihatkan supaya berhenti memberikan kenyataan secara terbuka dan kembali ke meja rundingan untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang timbul.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Pemuda PAS menyeru semua pimpinan parti di dalam kerajaan, bawalah pandangan ke meja rundingan tanpa perlu berdebat secara terbuka yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat.
Malah, Ahli Parlimen PAS Pasir Mas berkata perdebatan secara terbuka akan menimbulkan persoalan dan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.
Beliau berkata sebarang keputusan dalaman yang dibincangkan di peringkat tertinggi mestilah secara telus diterangkan dengan baik dan positif kepada rakyat, bukannya hanya bersifat kepentingan peribadi.
“Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda PAS mencadangkan agar tidak perlu lagi diadakan rundingan.
“Semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli berkata Dewan Pemuda PAS Malaysia meneliti dengan serius perkembangan yang berlaku di antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan PN pada hari ini.
Beliau berkata ini termasuklah beberapa siri kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berhubung isu penggunaan bendera BN, penyertaan PPBM dalam MN dan pendaftaran PN sebagai satu gabungan politik baharu.
“Pemuda PAS berpandangan bahawa PN mahupun MN ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan sehingga membawa kepada jatuhnya Kerajaan PH pada bulan Februari yang lalu.
“Ia berlaku apabila Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli berkata, situasi sekarang berbeza apabila rata-rata rakyat hakikatnya cukup berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri.
“Ditambah dengan suasana pandemik COVID-19 pada hari ini, kita yakin rakyat tidak mahu dihidangkan dengan cerita-cerita politik yang tidak boleh diterjemahkan untuk menjadi hidangan untuk mereka sekeluarga di atas meja.
“Dengan isu pekerja kehilangan mata pencarian hari ini, pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan dan pelbagai isu yang berlaku, adalah sangat tidak sesuai untuk rakyat dihidangkan dengan pertembungan di antara parti-parti yang sama-sama mendukung kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin,” katanya.