21 OGOS: BN diyakini mampu menang di semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim termasuk enam PDM yang parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz berkata keyakinan itu berdasarkan faktor kerja berpasukan antara BN dan PAS di bawah semangat kerjasama Muafakat Nasional (MN) serta parti komponen lain dalam BN
Menurut beliau, keyakinan ini juga disebabkan hasil kerja keras di antara semua parti komponen MN untuk meraih undi untuk gabungan itu.
“Kita minta supaya MCA, MIC letakkan sasaran tertentu undi dan kalau kita berjaya dapatkan undi-undi itu, insya-Allah kesemua enam PDM ini kita akan menang,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama pengundi di Pekan Slim, di sini hari ini.
Turut hadir sama, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Enam PDM yang BN tewas pada PRU14 adalah Kampung Kuala Slim, Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Pekan Lama, Ladang Kelapa Bali dan Ladang Sungkai.
PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43; dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44; dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38.
Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK Slim, 29 Ogos ini.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Bahagian Tanjung Malim, Mohd Tarmizi Ab Rahman berkata, jentera PAS dan UMNO seiring menjalankan program ziarah dari rumah ke rumah untuk meraih undi bagi memastikan calon BN memperoleh kemenangan besar.
“Di mana calon BN berada, di situlah wakil PAS akan turut serta dan sehingga hari ini.
“Rakyat di sini menyambut baik dan memberi sokongan kepada penyatuan parti Melayu antara PAS-UMNO, “katanya.
Mohd Tarmizi menambah, kerjasama dalam Muafakat Nasional peringkat pusat diteruskan di Parlimen Tanjung Malim yang diterjemahkan menerusi kempen PRK DUN Slim.