21 OGOS: Penyerahan geran tanah daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan berupaya menarik sokongan rakyat di negeri itu terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, inisiatif tersebut sebenarnya diusahakan oleh kerajaan terdahulu di bawah BN.
“Saya melihat ini bukan satu kerja luar biasa ini kerja biasa. Memang ini apa yang diusahakan BN dulu cuma tak sempat buat sebab kerajaan sudah bertukar.
“Saya tak nampak pemberian (geran) tanah boleh dijadikan umpan oleh Warisan dan Shafie untuk menarik minat rakyat. Cuma dia bagi masa dekat-dekat pilihan raya seolah-olah nampak macam buah tangan dari kerajaan negeri dulu,” katanya seperti dipetik dari wawancara yang disiarkan Suara.TV hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, media melaporkan bahawa Mohd Shafie telah menyerahkan 1,309 geran tanah adat negeri dalam jelajahnya ke seluruh Sabah.
Berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Bung Moktar memberitahu, BN akan menampilkan kira-kira 85 peratus muka baharu sebagai calon.
Menurut beliau, keutamaan akan diberi kepada golongan belia dan mereka yang belum pernah bertanding dalam pilihan raya.