21 OGOS: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa bersikap hipokrit apabila menggunakan abjad jawi ‘pa’ sebagai simbolnya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, seperti yang dijelaskan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ‘pa’ merupakan singkatan bagi perkataan ‘Pejuang’ manakala tiga titik pada abjad tersebut bermaksud Islam, iman dan Rukun Negara.
Beliau menyindir penjelasan Mukhriz tersebut kerana cuba menunjukkan konon-kononnya Pejuang sebuah parti yang mempunyai semangat Melayu yang kuat.
“Malangnya kuat pula mempertahankan DAP yang anti tulisan jawi.
“Pejuang kelihatan mahu lebih Melayu daripada UMNO dan lebih islamik daripada PAS kerana mengangkat martabat jawi,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Mohd Puad secara sinis menyatakan ‘simpati’ terhadap bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang didakwa diarahkan meletak jawatan berikutan isu tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia dahulu.
“Tidakkah itu hipokrit namanya. Justeru, tolak calon BEBAS aka Pejuang tajaan Mahathir,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN