22 OGOS: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membuat perubahan bagi membolehkan ahli bersekutu parti itu yang merupakan bukan bumiputera menjadi ahli penuh dan boleh memegang jawatan dalam parti, kata Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Untuk itu, Perdana Menteri berkata satu jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Dr Rais Yatim telah ditubuhkan untuk melihat perkara itu dan mengemukakan cadangan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Muhyiddin yang juga Perdana Menteri berkata sekiranya cadangan penubuhan sayap baru itu diterima maka Bersatu akan mengadakan perhimpunan agung luar biasa bagi meminda perlembagaan parti.
“Sekiranya diterima kita akan adakan satu perhimpunan agung luar biasa untuk meminda perlembagaan Bersatu supaya perkara ini berjaya dilakukan,” katanya dalam ucapannya pada acara Kongres Negara di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia ( MITEC) di sini, hari ini.
Pindaan itu susulan kemasukan kumpulan penyokong Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terdiri daripada pelbagai kaum ke dalam Bersatu.
Kemasukan Azmin dan penyokongnya ke dalam Bersatu dilakukan secara rasmi pada majlis berkenaan.