22 OGOS: Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny yang didakwa diracun dibenarkan dibawa ke Jerman untuk rawatan selepas didesak keluarga dan pembantunya.
Pasukan doktor di bandar Omsk di Siberia, di mana Navalny yang tidak sedarkan diri dirawat di unit rawatan rapi mengubah pendirian awal mereka meskipun pada mulanya bertegas untuk tidak memindahkannya berikutan keadaannya yang kritikal.
Isteri peguam dan pejuang antirasuah berusia 44 tahun itu, Yulia merayu kepada Presiden Vladimir Putin dan mendakwa pihak berkuasa negara itu menangguhkan usaha menyelamatkan suaminya.
“Kami membuat keputusan bahawa kami tidak menghalang pemindahan rawatan ke hospital lain yang diminta keluarganya,” kata wakil doktor hospital Omsk, Anatoly Kalinichenko, kepada wartawan.
Navalny, antara pengkritik kuat Putin, dalam penerbangan dari Siberia ke Moscow sebelum pesawatnya melakukan pendaratan kecemasan.
Pembantunya mendakwa Navalny diracun dan percaya ada sesuatu dimasukkan dalam minuman tehnya di kafe lapangan terbang, bagaimanapun doktor pada Jumaat mengatakan tiada sebarang racun ditemui mereka.
Navalny adalah individu terbaru dalam kalangan pengkritik Kremlin yang sakit teruk atau mati akibat diracun.
Menurut doktor berkenaan, keadaan Navalny agak stabil dan isteri serta keluarganya bertanggungjawab atas sebarang risiko kerana mahu memindahkannya.
Pesawat itu dilaporkan berlepas pada Jumaat, bagaimanapun dinafikan Kementerian Kesihatan Wilayah yang kemudiannya mengatakan penerbangan itu akan dilakukan pada pagi Sabtu berikutan kru pesawat Jerman memerlukan masa rehat namun pihak itu tidak memberikan waktu yang tepat, lapor agensi berita Russia, TASS.
Doktor dari Jerman sebelum itu mengunjungi Navalny pada awal Jumaat bersama NGO iaitu Yayasan Keamanan dengan menaiki pesawat sewa khas.
Doktor itu mengatakan mereka ‘mampu dan bersedia’ menerbangkan Navalny ke Berlin.
Isteri Navalny juga sudah mengemukakan rayuan terus kepada Putin selain pembantu meminta Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah untuk turut campur tangan dalam kes berkenaan.
Kalinichenko berkata, kerajaan Rusia sudah mengadakan rundingan dengan doktor Jerman dan sudah memeriksa keadaan Navalny.