22 OGOS: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafan yang berlaku.
Ini susulan kompaun ke atasnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ekoran ingkar perintah kuarantin untuk individu pulang dari luar negara.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, sebagai seorang anggota Kabinet, beliau bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebagai menzahirkan rasa bertanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai Menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Gaji Mac dan April 2020 juga telah disumbangkan sebelum ini ke Tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Menurut Khairuddin, beliau juga akan terus bekerja keras dan melipatgandakan lagi segala usaha dan tenaga untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai Menteri bagi memastikan semua rakyat yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi.
Kata beliau, ini khususnya lebih sejuta pekebun kecil B40 supaya sentiasa mendapat manfaat dan terbela kebajikan mereka. -Oleh M. HERMAN HAMID