22 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menurunkan lagi harga siling bagi pelitup muka yang kini ditetapkan pada RM1 menjelang bulan depan.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk menetap harga siling berkenaan berdasarkan permintaan semasa.
Menurut beliau, penurunan itu dibuat bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan harga pelitup muka.
“Kita bagi ruang supaya tidak ada kekurangan bekalan tetapi sekarang saya beritahu pengeluar, kami akan turunkan lagi bawah RM1,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Alexander memberitahu, pihaknya sentiasa memantau bekalan pelitup muka di peringkat pengeluaran, import dan runcit bagi menentukan penurunan harga maksimum yang sewajarnya berdasarkan kepada situasi pasaran semasa.
“Kita tidak mahu harga yang terlalu rendah sehingga memberi masalah kepada pengilang dan berdepan dengan ketidakcukupan stok.
“Bukan mudah bagi kami hendak letak harga siling, tetapi kami buat dengan menyelidik dan mengambil usaha untuk tengok keadaan sebenar sebelum meletakkan harga siling itu,” katanya.
Harga siling runcit bagi sekeping pelitup muka tiga lapisan ditetapkan RM1 berkuat kuasa 16 Ogos lalu.
Sementara itu, bercakap mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia 2020, beliau berkata, program itu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain bermula di Melaka minggu depan.
“Kita sudah membuat pelbagai perancangan untuk melancarkan kempen itu di semua negeri seperti di Melaka dalam tempoh seminggu lagi dan seterusnya di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Alexander juga menambah pihaknya akan sentiasa memantau perniagaan dalam talian dalam usaha melindungi pengguna.
“Kita tidak terlepas pandang untuk melindungi pengguna yang membeli dalam talian. Kita tumpu perhatian bagaimana hendak melindungi mereka berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada selain pemantauan dan risikan penguatkuasaan KPDNHEP,” katanya.