22 OGOS: Sekretariat Muafakat Nasional (MN) yang terdiri daripada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memperkasakan lagi saf bagi menentang Pakatan Harapan (PH) menerusi pertembungan satu lawan satu.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, untuk itu, sekretariat MN akan membuat libat urus secara rasmi dengan pelbagai parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu dan bukan Islam.
“UMNO Pas, Bersatu harus berani meneroka politik norma baru dan menawarkan tawaran baru untuk Malaysia.
“Kita ambil pendekatan yang inklusif, berpaksikan agenda rakyat, bertindak cemerlang dengan idea dan tawaran baru berasaskan pemikiran luar kotak,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau hari ini.
Menerusi satu ciapan lain berhubung tawaran gencatan politik oleh DAP seperti dibangkitkan Setiausaha Organisasinya, Loke Siew Fook, Annuar berkata, itu adalah cadangan peribadi pemimpin tersebut setelah melihat kekuatan kerajaan tak dapat digoyah.
“Dari segi parti, DAP tidak punya istilah gencatan. Mereka hentam keliling asal untung. “Devil that we know”,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fokus sekarang untuk memastikan DAP tidak memerintah semula.
“Kekuatan DAP ini ialah perpecahan Melayu. DAP tidak ada sebarang kekuatan jika Melayu berpadu dan Melayu ingin bersatu dalam MN. Jadi kita perlu rasional dan menerima segalanya.
“Jika masyarakat Melayu dan bangsa Melayu serta Bumiputera Islam berpecah, kita akan kalah dari sudut politik sudahlah kalah pada sudut ekonomi. Jadi inilah peluang yang terbaik untuk kita menyatu-padukan parti-parti politik Melayu yang tidak suka pada DAP,” katanya seperti dipetik UMNO Online, di sini.
Justeru, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengharapkan agar sentimen perperpecahan dapat dihindarkan demi kemenangan pada PRU-15.