22 OGOS: UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal mengadakan mesyuarat rasmi berhubung gabungan Muafakat Nasional (MN) dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini BERSATU sudah membalas surat jemputan dan menyatakan kesudian parti berkenaan menjadi anggota MN.
Beliau berkata, sebagaimana yang disahkan, kedua-dua Presiden PAS dan UMNO sudah membuat surat jemputan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mengesahkan surat berkenaan sudah dijawab sendiri oleh Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, kita belum sempat mengadakan persidangan dan mungkin mesyuarat bersama ketiga-tiga parti akan diadakan dalam masa terdekat.
“Sekarang ini, kita secara tidak rasmi sudah adakan perbincangan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah memandangkan di sana ada UMNO, PAS dan BERSATU,” katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas merasminkan Skim Bantuan Pelajar Parlimen Kota Bharu di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) hari ini.
Takiyuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) dan MN masih belum didaftarkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“PN baharu didaftar dan di peringkat penajaan, kita bukan menyertai tetapi untuk tubuhkan satu parti perlu ada penaja dan PAS adalah satu daripada penaja, namun ia belum secara rasminya lagi siapa dalam PN.
“Satu-satu pakatan itu boleh didaftarkan atau tidak, tetapi jika untuk tujuan menyertai pilihan raya, ia perlu didaftarkan. Jika tidak berbuat demikian, tidak boleh pakai logo macam Pakatan Harapan (PH).
“Masa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH tidak didaftarkan, jadi tidak boleh masuk atas nama PH dan sebab itu guna logo PKR.
“Jika pada PRU15 misalnya kita nak guna PN, maka PN perlu daftar dulu, begitu juga dengan MN,” katanya.
Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam jawatankuasa bersama sama ada untuk didaftarkan PN atau MN.
“Sebelum ini, PAS menjadi satu daripada penaja ke arah pendaftaran PN, namun selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesudian untuk menyertai MN perkara ini akan dibincangkan secara lebih terperinci,” katanya.