22 OGOS: Kluster Tawar terus mencatatkan jangkitan baru dengan kesemua lima kes tempatan COVID-19 yang dilaporkan hari ini daripada kluster tersebut.’
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya terdapat lapan kes baru COVID-19 hari ini dengan tiga lagi kes import.
Katanya, kes import itu melibatkan kepulangan dari Bangladesh, Filipina dan Belanda dengan dua daripadanya bukan warganegara.
“Sehingga kini, terdapat lapan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes.
“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noor Hisham, dengan pertambahan lima kes baru hari ini, jumlah kes positif COVID-19 kluster Tawar kini sudah mencecah 63 kes.
“Sehingga 22 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,942 orang telah disaring dalam kluster ini melibatkan tiga negeri.
“Sebanyak 198 masih menunggu keputusan dan pengesanan kes serta saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID