21 OGOS: Arab Saudi tidak akan mengabaikan keselamatan rakyat berhubung vaksin COVID-19 walaupun mahu menjadi negara terawal mendapat bekalannya.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq Al-Rabiah berkata, ketika ini pihaknya sedang bekerjasama dengan United Kingdom (UK) serta Russia, Amerika Syarikat dan China bagi tujuan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, vaksin itu tidak akan digunakan sehingga ia lulus ujian oleh Badan Pengawasan Makanan dan Ubat Saudi (SFDA).
“Pemimpin kami ingin melakukan apa juga yang diperlukan untuk meningkatkan kesihatan masyarakat dan ketersediaan vaksin selain menjadi negara pertama yang memperoleh vaksin.
“Tetapi keselamatan vaksin dan prosedur yang digunakan sangat penting dalam meluluskan sebarang rawatan,” katanya.
Vaksin kini diuji di setiap negara berkenaan dan sebaik ia diluluskan SFDA, ia akan digunakan di Arab Saudi.
Tawfiq dalam temu bual dengan Al Arabiya berkata, keadaan di Arab Saudi stabil di mana ujian dan perkhidmatan kesihatan tersedia untuk semua pihak yang memerlukan.
“Kami mempunyai 21 pusat ujian yang boleh diakses secara pandu lalu. Setiap individu boleh membuat temu janji menerusi telefon untuk menjalani ujian.
“Jumlah ujian sehari boleh mencecah 70,000. Jumlah ujian yang tinggi dapat membantu mengesan individu yang dijangkiti lebih awal.
“Walaupun jumlah kes di negara ini tinggi, jumlah kematian adalah rendah, malah terendah dalam kalangan negara G20,” katanya.
Katanya, kes semakin menurun dan 90 peratus kes direkodkan pulih kerana pematuhan terhadap langkah berjaga-jaga.
Di samping itu, katanya pemakaian pelitup muka juga berkesan dalam mencegah penularan COVID-19.
Sebelum ini orang ramai terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan tetapi kini terdapat lebih 230 klinik dibuka 16 atau 24 jam sehari untuk merawat mereka yang mengalami gejala COVID-19.
“Kira-kira 15,000 orang mengunjungi klinik setiap hari. Kebanyakan mereka mengalami gejala yang disahkan tidak berkaitan dengan COVID-19.
“Daripada 15,000 orang, hanya 10,000 diuji dan hanya 300 menerima rawatan di hospital,” katanya.
Dalam tiga bulan terakhir, kementerian berupaya meningkatkan kapasiti jagaan kritikal hingga 50 peratus dengan menambah 3,600 katil.