23 OGOS: Sebanyak dua kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster tersebut adalah sebanyak 65 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 3,286 orang telah disaring dalam kluster ini.
Menurut beliau, seramai 2,758 individu disaring di Kedah dan daripada jumlah itu, sebanyak 54 kes dikesan positif COVID-19, 2,362 individu negatif dan 342 individu masih menunggu keputusan.
Sementara itu, di Pulau Pinang, seramai 517 individu disaring dan 11 kes dikesan positif COVID-19 manakala bakinya semua negatif.
Di Perak pula, semua 11 saringan adalah negatif dan tiada saringan baharu.
“Pengesanan kes dan saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Berhubung perkembangan Kluster Alam, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak tiga kes baharu kluster tersebut dikesan dan setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 27 invididu telah disaring.
Daripada jumlah itu, seramai tujuh kes dikesan positif COVID-19, 18 individu negatif dan dua individu masih menunggu keputusan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, sebanyak 10 kes telah pulih COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 8,959 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dr Noor Hisham menambah, sehingga sehingga jam 12 tengah hari tadi, terdapat 10 kes baharu telah dilaporkan.
“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,267 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” jelasnya.
Daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga rakyat Malaysia dan lima bukan warganegara.
Lapan kes import tersebut adalah dari negara Jepun (3 kes di Sarawak), Indonesia (3 kes iaitu 2 kes di Selangor dan 1 kes di Kuala Lumpur), Republik Maldives (1 kes di Kuala Lumpur) dan
Mexico (1 kes di Kuala Lumpur).
Kedua-dua kes penularan di dalam negara melibatkan rakyat Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah.
Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes atau 1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Oleh HUSSAINI AMRAN