23 OGOS: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan tentang cubaan pihak tertentu yang mahu menggagalkan usaha memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan parti yang membentuk gabungan Muafakat Nasional (MN).
Beliau yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat MN berkata, semua pemimpin dan penyokong parti yang menganggotai MN perlu berhati-hati menghadapi komplot itu.
Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa, pihak berkenaan menggunakan tentera siber upahan untuk menyamar, menghasut dan menyemarakkan api kebencian dalam kalangan parti-parti terbabit.
“Berhati-hati dengan usaha yang cuba menggagalkan penyatuan dan perpaduan. Cybertroopers upahan,menyamar untuk menghasut dgn api kebencian sesama kita.
“Isu kerusi, isu kuasa dan isu jawatan akan cuba diumpan agar gagal penyatuan dan muafakat. Kuatkan tekad … utamakan perpaduan dan tewaskan musuh,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.
Difahamkan Annuar berkata demikian bagi mengulas usaha pihak tertentu cuba menggagalkan hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyertai MN.
Sebelum ini, beliau mengesahkan MN sudah menerima surat persetujuan daripada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyertai gabungan itu, Selasa lalu. – Oleh HAIKA KHAZI