23 OGOS: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menafikan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM800 juta menerusi Belanjawan 2020 bagi projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Berikutan itu Ka Siong mencabar Guan Eng supaya memeriksa semula teks ucapannya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Parlimen tahun lalu sama ada wujud atau tidak butiran mengenai peruntukan yang dikatakan diluluskan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit.
Beliau berkata, jika butiran mengenai peruntukan itu tidak wujud ini bermakna Guan Eng bukanlah seorang akauntan bertauliah dan profesional seperti didakwa oleh Setiausaha Agung DAP terbabit.
“Confirmed’ Lim Guan Eng ini seorang akauntan yang tak bertauliah atau ‘provisional accountant’! BUKAN ‘professional accountant’! Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan ini seorang ‘raja putar belit’ terkenal yang tidak dapat membezakan peruntukan kerajaan dengan peruntukan swasta.
“Sila tunjuk muka surat atau perenggan berapa dalam teks ucapan Belanjawan 2020? Atau rujuk balik hansard! Cari punya cari di dalam Buku Belanjawan 2020 yang tebal itu, TIADA satu butiran pun yang menyatakan mengenai peruntukan RM800 juta di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) atau mana-mana kementerian lain untuk menaik taraf LTAPP pada tahun 2020!” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, beliau kemudiannya membuat semakan dengan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), iaitu sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, pengurusan MAHB telah mengesahkan bahawa tiada sebarang peruntukan kerajaan diberikan kepada MAHB untuk menaik taraf LTAPP ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.
Sebaliknya, Ka Siong berkata, MAHB sememangnya lama merancang untuk menggunakan simpanan dalaman syarikat MAHB untuk menampung kosnya berdasarkan konsep ‘Regulated Asset Based’ (RAB) namun konsep RAB ini tidak pernah diluluskan di bawah pemerintahan PH.
“Nampaknya akauntan tak bertauliah Lim Guan Eng kononnya mengumumkan peruntukan RM800 juta untuk menaik taraf LTAPP tetapi ia tidak termaktub di dalam Belanjawan 2020!
“Pelik betul Lim Guan Eng ini, dia kata dia umum peruntukan RM800 juta untuk LTAPP tapi Buku Belanjawan 2020 tak jumpa butiran. Takkanlah dia umum peruntukan syarikat korporat di dalam Dewan Rakyat untuk kelulusan termasuk di Dewan Negara? Kalau begitu, syarikat awam (public listed company) tak payahlah mengadakan AGM lagi! Hahaha,” katanya.